Malas merupakan musuh utama mencapai kejayaan.
Dalam ungkapan yang mudah, malas dapat diertikan sebagai:
“tidak mahu, segan atau enggan berbuat sesuatu”. – (sumber rujukan: Laman Pusat Rujukan Persuratan Melayu).
Sebelum mengetahui 2 teknik berkesan mengubati malas, timbul 1 soalan iaitu mengapakah malas berlaku?
Mengapa Malas Berlaku?
Seorang ulama tempatan menyebut bahawa:
“Jika anda terasa malas, minda anda sedang melayan bisikan syaitan. Apabila anda melayan bisikan syaitan, pelbagai khayalan akan bermain di minda”.
Formula bagaimana malas berlaku: minda + bisikan syaitan + khayalan = malas.
Khayalan tersebut seperti buka daftar masuk akaun facebook dahulu, periksa e-mel dahulu, bancuh air dahulu dan pelbagai dahulu lagi. Akhirnya, apa yang mesti didahulukan terlepas begitu sahaja.
Malas boleh dirawat. Setiap penyakit ada ubatnya kecuali mati. Apabila malas, terdapat teknik berkesan mengubatinya.
Teknik Berkesan Mengubati Malas
Bagi mengubati gejala ini, ulama tersebut telah berkongsikan beberapa teknik mudah dengan katanya lagi:
“Anda boleh hentikannya dengan fokus dalam melakukan sesuatu… buat terus untuk 5 minit, momentum akan datang… dan bisikan syaitan akan mula menghilang.
Segalanya perlukan azam dan istiqamah”.
Daripada perkongsian beliau di atas, 2 teknik berkesan mengubati malas telah dikenal pasti iaitu:
1# Fokus
Fokus dapat dibina dengan terus melakukan perkara yang ingin diselesaikan selama 5 minit (untuk permulaan). 5 minit sahaja.
Adalah diakui bahawa langkah awal ini agak mencabar, namun lakukan sahaja. Seperti kata iklan Nike: Just Do It!
Dengan azam diri yang kuat dan usaha bersungguh-sungguh, momentum akan datang selepas itu.
2# Konsisten
Momentum yang telah terbina boleh datang dan pergi begitu sahaja. Apabila momentum diikat dengan konsisten, ia tidak akan mudah berlalu begitu sahaja.
Konsisten adalah istiqamah.
Konsisten dapat dibina dengan terus-menerus melakukan sesuatu. Ya, terus-menerus sehingga tercapai tujuan sesuatu perkara.
Analogi yang terkenal seperti pergerakan kereta api di landasan. Mencabar. Ia mengambil sedikit masa untuk bergerak. Sekali sudah bergerak, ia juga mengambil sedikit masa untuk berhenti.
Demikian juga dengan konsisten dalam melakukan sesuatu.
Akhir Kata
Demikian sedikit sebanyak perkongsian tentang 2 teknik berkesan mengubati malas iaitu:
- fokus
- konsisten
Alhamdulillah. Sejujurnya, penulis telah mengaplikasikan teknik di atas dan nyata sekali ia berkesan, dengan izin daripada Allah.
Didoakan semoga ia juga memberi kebaikan kepada para pembaca yang budiman. Insya-Allah.
Salam kejayaan.
Kredit gambar: monkeyworks illustration & the|G|™.
