Sudah pasti jawapan yang diberikan adalah: YA.
Tiada siapa yang mengatakan TIDAK. Tiada siapa yang mahu gagal dalam hidup kerana semua orang hendak berjaya.
Semua orang hendak mengecapi nikmat kejayaan dalam hidup dan kebahagian menurut kamus diri setiap insan yang sihat mental dan spiritualnya.
Rahsia Bersifat Proaktif
Antara resipi untuk berjaya adalah proaktif dalam setiap kerja dan usaha.
Tanpa disuruh, atur langkah sudah bergerak. Tangan mencapai sesuatu untuk melakukan perkara yang pada hemahnya ada kebaikan dan pulangan yang besar kepada diri mahupun orang di sekelilingnya.
Amalan ini sebenarnya terpuji dan ada ‘kredit’ pada pandangan masyarakat umum.
Kejayaan yang dinikmati oleh mereka dalam profesion tertentu pada hari ini bukanlah ditempa kelmarin atau sehari dua.
Sebenarnya mereka gigih berusaha tanpa mengenal erti penat lelah, memerah keringat hingga menistis ke bumi, bersengkang mata pada malam hari hanya kerana ingin melakar kejayaan yang menjadi dambaan pada masa hadapan.
Andai ditanya, apakah amalan yang dilakukan oleh mereka?
Pasti antara jawapan yang diluahkan adalah proaktif dalam mengulang kaji pelajaran, melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan seumpamanya mengikut bidang masing-masing.
Justeru itu, istilah proaktif boleh dihubungkan dengan perkataan ‘berlumba-lumba’, ‘persaingan’ dan sebagainya dalam erti kata melangkah maju ke hadapan tanpa diperintah.
Proaktif Dalam Islam
Dalam Islam, proaktif amat disanjung tinggi dan terpuji. Kenyataan ini jelas berdasarkan firman Allah S.W.T yang bermaksud:
“Berlumba-lumbalah kamu berbuat kebaikan”
Selain itu, antara sifat orang-orang mukmin ialah berlumba-lumba siapakah yang terlebih dahulu mempraktikkan sesuatu amalan berteraskan ilmu yang dipelajari. Begitu juga halnya dengan para sahabat r.a.h yang mana mereka saling menghulurkan khidmat kepada Rasulullah S.A.W.
Sebuah hadis menceritakan bahawa pada suatu hari Rasulullah S.A.W mengimamkan solat jemaah. Setelah bangun daripada rukuk seraya Nabi S.A.W berkata: “sami’allahu liman hamidah” (سمع الله لمن حمده).
Seorang sahabat yang mengikuti di belakang baginda mengucapkan: “rabbana lakal hamdu hamdan kathiran tayyiban mubarakan fih” (ربنا لك الحمد حمدا كثيرا طيبا مباركا فيه).
Selesai solat Rasulullah S.A.W berpaling ke belakang dan bertanya siapakah yang menutur demikian ketika iktidal tadi?
Saya wahai Rasulullah, jawab seorang sahabat.
Maka Rasulullah bersabda:
“Sesungguhnya tiga puluh lebih malaikat berebut-rebut hendak menulis ganjaran bagi kamu”. (Hadis Sahih)
Kesimpulan
Inisiatif para sahabat melangkau jauh ke hadapan dalam melakukan ketaatan dengan kreativiti tensendiri mendapat pengiktirafan daripada baginda Nabi S.A.W.
Setiap orang layak merangkul kejayaan dan kebahagian dalam hidup melainkan mereka yang tidak berhasrat untuk meraih nikmat ini.
Kredit gambar: anton_hadibowo, kpipm64 dan Kokocentral.



Aqif Azizan March 7, 2012 at 8:50 am
Saya suka dengan perkongsian tuan ini. Tuan ada bakat dalam menterjemahkan konsep Islamik ke dalam bentuk motivasi dan pembangunan diri.
Teruskan usaha tuan, teruskan bernetworking dengan blogger lain. Mudah-mudahan tuan dapat monetize blog ini dengan baik. Insya Allah.
admin March 7, 2012 at 11:21 pm
Segala syukur bagi Allah.
Terima kasih kerana komentar positif dan doa. i’Allah, kami pasti akan terus berusaha untuk buat habis baik.
Didoakan juga kejayaan untuk tuan. Amin.
p.s: wakil bagi tuan ‘Rozu’.