3 Cara Mengurus Ujian Dalam Kehidupan

3 Cara Mengurus Cabaran‘Dalam hidup pasti ada masalah’. Kenyataan ini sering terdengar dan tiada salahnya.

Namun begitu, perkataan ‘masalah’ dalam kenyataan di atas mengandungi sedikit pemahaman negatif.

Perkataan masalah kelihatan seperti ada masalah.

Bagaimana jika digantikan penggunaan perkataan ‘masalah’ tersebut dengan ‘ujian’ atau seumpamanya. Kedengaran lebih positif. :-)

Mengurus ujian dengan baik mempunyai kaitan dengan mencapai kejayaan.

Dengan memikirkan sesuatu masalah sebagai ujian, pemikiran lebih tertumpu untuk menghadapinya dengan tabah dan berusaha menyelesaikannya (usaha).

Kejayaan dan Ujian

Kejayaan dan ujian tidak mungkin dapat dipisahkan.

Kejayaan yang dicapai sentiasa diiringi oleh ujian. Ujian adalah ‘sahabat baik’ bagi kejayaan. Keduanya sering bergerak beriringan.

Kejayaan yang dicapai dengan menempuh beberapa ujian lebih terasa kepuasannya..lebih terasa kemanisannya.

Apabila ujian terasa pahit, kejayaan dirasakan manis.

Dalam perniagaan, risiko menghadapi kerugian sentiasa ada. Risiko tersebut merupakan ujian. Keuntungan yang dicapai hasil daripada melepasi beberapa ujian adalah indah.

Mengapakah Ujian Perlu?

Ujian pasti menimpa kerana bukan sahaja mati ujian, hidup juga sebahagian daripada ujian.

Apabila susah adalah ujian, senang juga merupakan ujian. Apabila miskin adalah ujian, kaya juga adalah ujian. Apabila rugi adalah ujian, untung juga adalah ujian.

Segala ujian yang menimpa bertujuan untuk menguji siapakah yang lebih baik amalannya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Mulk, ayat 2 yang bermaksud:

Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan ia maha kuasa (membalas amal kamu), lagi maha pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);

Apabila ujian pasti menimpa, bagaimanakah menguruskannya dengan baik?

3 Cara Mengurus Ujian Dalam Kehidupan

3 Cara Mengurus Ujian Dalam Kehidupan

Ujian dalam kehidupan tidak perlu ditangani, namun cukup diuruskannya dengan baik. Pengurusan ujian dengan baik bakal memberi kebaikan kepada pelakunya.

Terdapat banyak cara mengurus ujian dengan baik. 3 daripadanya adalah:

Cara 1: Menerima Dengan Hati Terbuka

Langkah 1 ini bersandarkan kepada pemahaman dalam firman Allah SWT di atas iaitu hidup dan mati adalah ujian. Ujian yang menimpa merupakan petanda daripada Allah SWT supaya para hamba sedar dan mengingati-Nya.

Selain itu, ujian yang menimpa juga sesuai dengan diri seseorang kerana Allah SWT tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.

Dengan menyedari dua perkara ini iaitu ujian sentiasa ada dan sesuai dengan diri seseorang, hati lebih bersedia untuk menerima dan…

bersabar.

Cara 2: Bersabar

Orang yang bersabar adalah orang yang beruntung.

Dengan bersabar beroleh ganjaran, dengan bersabar juga beroleh balasan.

Analogi mudah seperti: apabila mahu mendapatkan buah di pokok, penting menunggu sehingga sampai waktunya untuk memetik buah tersebut. Proses menunggu menuntut supaya bersabar.

Dalam hal ini, terdapat satu pepatah Arab yang bermanfaat untuk dihayati iaitu:

Dalam berhati-hati ada keselamatan, dalam tergesa-gesa ada penyesalan

Cara 3: Berpegang Teguh Kepada Agama Allah SWT

Dalam konteks mengurus ujian, berpegang teguh kepada agama Allah SWT bermaksud:

  1. menerima sesuatu ketentuan Allah SWT dengan reda.
  2. meyakini bahawa setiap kesukaran disertai dengan kesenangan.
  3. mengetahui pertolongan Allah SWT itu dekat.

Sungguhpun begitu, penjelasan ini tidak menafikan kepentingan berdoa, berusaha dan bertawakal.

Cara 2 dan 3 di atas bersandarkan kepada firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 214 yang bermaksud:

Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang yang beriman yang ada besertanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah.

Ujian Lumrah Kehidupan

Akhir Kata

Demikian sedikit perkongsian tentang 3 cara mengurus ujian dalam kehidupan iaitu:

  1. menerima dengan hati terbuka
  2. bersabar
  3. berpegang teguh kepada agama Allah SWT

Didoakan semoga 3 cara di atas memberi sedikit sebanyak kebaikan dalam menguruskan ujian.

Ya Allah, bantulah kami menghadapi ujian yang menimpa. Amin.

Wallahua’lam.

p.s: sebarang perkongsian tambahan dialu-alukan. ;-)

Kredit gambar: DJ Bassenciknombor8.blogspot.com & youmusthink.blogspot.com.

{ 0 komen… add one }

Beri Komen